arizzent

Apa itu Fitness Tracker?

Apa itu fitness tracker? Sebelum kita lihat maksudnya, jom kita selidik dahulu kenapa fitness tracker semakin mendapat sambutan dan banyak digunakan bukan sahaja oleh mereka yang aktif bersukan, tetapi juga pengguna casual. Pernahkah anda mendengar, atau terbaca mengenai seorang yang sedang bersukan tiba-tiba jatuh pengsan? Atau seorang marhaen yang sedang membeli belah di pasaraya tiba-tiba rebah dan disahkan meninggal? Kes-kes sebegini, terutamanya yang melibatkan kematian biasanya disebabkan oleh penyakit jantung yang tidak diketahui oleh individu terbabit. Dalam menghadapi dunia arus perdana yang segalanya pantas dan semakin mencabar, kebanyakan kita terlupa untuk memeriksa tahap kesihatan badan. Tidak dinafikan, kita mengamalkan pemakanan seimbang, serta kerap bersenam untuk memastikan tubuh kekal sihat. Namun, bagaimanakah untuk kita mengetahui semua itu sebenarnya tidak membebankan badan kita?

Satu cara yang boleh kita lakukan adalah dengan membuat ujian kesihatan di klinik ataupun hospital. Tetapi ramai di antara kita tidak mampu mencuri masa untuk melakukan pemeriksaan dek kerana kesibukan kerja dan menguruskan hidup. Pilihan lain yang kita boleh lakukan ialah dengan memeriksa indikator asas kesihatan iaitu kadar denyutan jantung dan tekanan darah. Bagaimanapun, dulu tiada peranti mudah-alih yang mampu melaksanakan pemeriksaan ini. Mujurlah seiring dengan perkembangan teknologi, peranti yang mampu memeriksa nadi serta tekanan darah kini boleh didapati dengan mudah, dan ianya boleh pula dipakaikan pada pergelangan tangan! Tapi sekali lagi, apa itu fitness tracker? Fitness tracker, kadang-kadang digelar sebagai smartwatch, activity tracker, ataupun smart band; adalah sebahagian daripada peranti generasi baharu yang boleh membantu penggunanya untuk kekal cergas dan sihat. Walau apapun gelarannya, semuanya mempunyai ciri-ciri yang sama: sebuah peranti yang digunakan untuk menjejak aktiviti fizikal kita disamping mengukur bacaan asas tahap kesihatan dan memindahkan maklumat tersebut ke telefon pintar kita. Antara maklumat yang boleh diukur oleh fitness tracker adalah bilangan langkah yang diambil, jarak yang dilalui, jumlah kalori yang dibakar, kadar degupan jantung, tekanan darah, malah pola tidur, bagi sesetengah peranti. Data-data ini kemudiannya akan dianalisa bagi mendapatkan gambaran kasar mengenai kesihatan tubuh kita. Namun perlu diingat, data-data ini hanyalah untuk rujukan, bukan bermaksud sebagai pengganti kepada penilaian perubatan. Berjumpa dengan doktor anda masih merupakan cara terbaik untuk mengenalpasti tahap kesihatan anda. Kini, memiliki bentuk tubuh yang sempurna bukanlah satu-satunya perkara yang diidamkan. Tapi usaha untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan adalah lebih penting bagi memastikan hidup ini boleh dinikmati bersama keluarga dan kawan-kawan. Salah satu cara untuk mengekalkan tahap kesihatan adalah dengan memantau tahap kesihatan fizikal dengan bantuan peranti berteknologi moden seperti fitness tracker. Sekarang anda telah mengetahui apa itu fitness tracker, adakah anda akan menggunakannya dalam kehidupan seharian? Kongsikan pendapat anda di bawah!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *